2011/02/21

DIET OH DIET

Salam semua..

Post kali ni, berkenaan dengan proses menurunkan berat badan / diet yang saya sedang lakukan.. Berat badan ideal saya sepatutnya dalam 50-55kg saja.. Tapi nampaknya, dah terlebih muatan.. Dulu 65kg, tapi setelah bermacam usaha, turun la 60kg.. Berbulan2 jugak sebenarnya nak turun.. Sekarang? Masih lagi 60kg, dan macam degil pulak lemak2 dalam badan ni nak hilang..

Semasa berat saya dah mencecah 65kg, saya sendiri terkejut.. Tapi belum ada kesedaran untuk berdiet.. Belasah jugak makanan2 segera terutama sekali McDonalds. Dalam seminggu, ada la 5 ke 6 kali mesti wajib pergi McD. Ni masa belajar kat kolej. Bayangkan dalam sebulan, berapa banyak lemak yang boleh terkumpul dalam badan, kalau hampir setiap hari mesti makan makanan lemak tinggi macam tu? Jadi tak heran pun kalau berat badan naik mendadak.


Semasa belum ada kesedaran lagi. Sedap je minum coke kan.

Saya mula sedar, apabila mak mula tegur. Katanya, masa mula2 masuk kolej dulu, tak ada la tembam sangat. Pipi ni, dah semakin membulat. Lengan, paha dan terutama sekali perut, dah semakin membesar. Kalau dulu saya tak berapa nak ambik berat, sekarang, agak panik jugak sebenarnya.. Orang pernah kutuk saya gemuk la, buruk la, muka macam bulan penuh la, dan yang paling buat hati ni tersentap, orang samakan saya dengan Mek Siti kelate ( yang lakon Salam Pantai Timur tu ) Bukan nak kata dia buruk, sebab apa yang saya nampak, dia comel je.. Cuma terasa macam, begitu punya gemuk ke saya ni????

Ni gambar masa berat saya 65kg.

Semasa di gym

Kat situ la saya mula ikhtiarkan macam2.. Ambil ubat, bersenam, tak mau makan nasi, dan macam2 lagi la.. Sampai tahap, mak pun marah.. Sebab apa yang dia nampak, saya lebih kepada menyeksa diri sendiri.. Bukan menyeksa, tapi memang berusaha keras nak kurus.. Yeke?

Baru-baru ni, saya cari macam2 info kat internet tentang proses diet dan jumlah kalori yang perlu di ambil.. Perempuan berusia 20-30 tahun, jumlah kalori yang perlu diambil adalah sebanyak 2000. Jadi, saya perlu tahu jumlah kalori makanan yang saya ambil lepas ni. Wah, leceh la. Tapi ada cara lain lagi ke?

Dah turun berat sampai 60kg

Korang tahu tak, menangis sahaja boleh keluarkan 30 kalori? Serius.. Tapi, takkan la nak menangis pulak. Untuk pengetahuan korang, saya tak berapa suka bersenam.. Bukan meletihkan je, tapi menyakitkan satu badan ni. Ya, dengan bersenam, lemak2 dalam badan pun boleh pecah.. Aduhai, dalam seminggu tu, boleh la 1 atau 2 kali bersenam.. Kalau hari2, mau lunyai badan ni nanti..

Jadi, apa yang saya usahakan sekarang, kurangkan makan nasi.. Senang cerita, tak payah makan nasi langsung… Memandangkan saya ada banyak masa terluang, apa kata ambik kesempatan ni untuk kurus.. Doakan la semoga saya berjaya… Bagi korang yang nak kurus ni, jom la kita berdiet sama2… Hehehe..

2011/02/07

LUAHAN RASA

Salam semua… Oh terima kasih banyak2 sebab masih sudi luangkan masa utk baca ‘diari’ saya ni.. Setelah sekian lama menyepi, terdetik pula untuk buat post.. dan kali ni terasa nak meluahkan perasaan yang dah lama terbuku ni…

Untuk pengetahuan korang, saya dah lebih sebulan tamat praktikal di RTM.. Post untuk praktikal di sana akan di buat kemudian.. :) Setelah tamat, saya hanya duduk kat rumah je.. Nak cari kerja tetap, rasanya belum bersedia lagi, memandangkan nak tunggu untuk sambung degree.. Jadi kerja sambilan saya buat masa ni, adalah menjadi guru tusyen.. Saya mengajar pelajar dari tahun 1 – 3, bagi subjek BM, BI, Math, dan Science.. Tak adalah susah mana pun nak mengajar budak2 ni.. Cuma nakal sikit… Perlu banyak bersabar..

Sepanjang duduk di rumah pulak, bohong la kalau tak tension.. Teramat la bosan.. Nak melayan karenah mak yang kadang-kadang moody je.. Sebagai anak, terpaksa la mengalah.. Kalau tak nanti, dicop anak derhaka pulak.. Tak sanggup!! Tapi apa yang boleh saya buat? Nak meluahkan perasaan suka dan duka kat mak, rasanya dia sendiri pun takkan faham… Sebab tu saya lebih banyak berahsia daripada nak ceritakan semua perkara kat dia.. Kena pulak kalau dia marah atau merajuk, mula la nak protes… Aduhai, macam2..

Tentang cinta, ada pasang surutnya.. Kadang2 ok, kadang2 ko.. Tapi itu la hakikat yang perlu diterima.. Baik buruk si dia, kena la saya terima.. Lagipun, tak boleh nak salahkan 1 pihak je.. Si dia sangat2 baik… :) Itu la sebabnya saya terima cinta dia dari dulu… Berbeza dari lelaki2 lain yang pernah saya kenal… Lelaki2 lain rasanya takkan mampu buat yang terbaik untuk saya seperti si dia lakukan terhadap saya selama ni.. Maafkan saya B, kalau selama ni saya banyak menyakitkan hati tu.. Tak terniat pun..

Terima kasih kerana banyak membantu saya lebih2 lagi dalam bidang pelajaran… Kalau ikutkan, saya dah tamat Diploma dalam bidang penyiaran… Sekarang nak tunggu je sijil diploma tu dikeluarkan… Seperti yang sudah dijangka, proses nak keluarkan tu punya la lambat… Menyakitkan hati je… Kolej dah nak lingkup pun, masih lagi nak buat hal… Mengalahkan IPT yang lain… Bayar yuran bukan seringgit dua… tapi beribu2… Jadi, tolong la beri service yang baik… Jangan nak makan gaji buta je… Yang ni, office asyik berkunci dari dalam… Menyusahkan pelajar2 nak jumpa pensyarah dan menguruskan hal2 kolej… Bila disoal kenapa mesti kunci pintu, katanya tengah meeting… Meeting?? Meeting apanya kalau pensyarah pun main UNO card bersama staf2 yang lain… Kalau bukan main game, rancak bersembang kosong… Sebagai pensyarah, kena la tunjuk contoh yang baik bukan hanya pada pelajar, tapi pada staf2 yang lain jugak… Padan la kalau tanya result exam, asyik bagi 1001 alasan… Padahal, kerja menanda tu boleh siap dengan cepat je…

Kerja yang patut dibuat, biar terbengkalai macam tu je.. Dokumen2 yang saya hantar seperti diarahkan , buat pekasam pulak kat meja dorang semua… Lepas tu bila student naik mengamuk, mula la dorang2 ni nak salahkan kita… Kita pulak yang dikatakan tak professional… Kata orang, nak layan orang yang x professional ni, kena layan dengan cara macam tu… Nak berbincang dengan elok, rasanya dah tak boleh… Kalau tak, 1 apa kerja pun tak buat… Dorang ni nak kena ketuk dulu, baru sedar… Rasa menyesal pulak masuk kolej ni… Kalau tau la macam ni punya pengurusan, tak ingin nak masuk situ… Buang duit, buang masa, semuanya terbuang!!! Ini adalah antara perkara yang paling bodoh yang pernah saya buat…

Kalau la manusia ni ada peluang untuk memutar balik masa, dah lama saya buat dan betulkan semula kesilapan saya… Tapi itu semua cuma boleh berlaku dalam cerita dalam tv atau buku… Realitinya, takkan seindah seperti dalam cerita-cerita dongeng… Namun apa yang berlaku dalam realiti hidup kita itu la yang mematangkan kita… Seandainya apa yang ada di alam fantasi tu benar2 berlaku dalam realiti, rasanya kita sampai bila2 pun takkan sedar akan kesilapan yang dibuat… Apatah lagi dalam mengakui kesalahan diri…

Apapun, saya tetap rasa bersyukur sebab masih ada keluarga dan orang sekeliling yang sedia membantu saya dalam apa jua keadaan… :) Tak elok rasanya asyik mengeluh dalam kehidupan… Sebab itu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT… Sebagai hambaNya, harus terima dengan hati yang terbuka… Kalau ada yang tak puas hati, perlu segera diperbetulkan… Nampaknya banyak lagi yang perlu saya betulkan pada diri… Untuk mendapatkan sesuatu yang baik2, kena la jadi yang terbaik… Kan? :)

Ok lah… Sampai di sini dulu luahan saya… Salam… :)

2010/11/22

2 ALAM : INDAH KHABAR DARI RUPA



Salam semua. Setelah sekian lama menyepikan diri dari menulis dalam blog ni, hari ni terdetik untuk membuat post berkenaan dengan filem 2 ALAM yang mana sebelum ini kecoh 1 Malaysia dengan laungan RM40 juta pecah panggung. RM40 juta bukan satu nilai yang kecil dan bagi saya terlalu tinggi sasaran itu, apatah lagi ianya cuma ditayangkan di Malaysia dan Brunei. Mustahil! Tak salah untuk berfikiran positif sebegitu, tapi kata orang, biar bertempat atau “agak-agak la kan”.

Baiklah, pertama sekali saya mahu berkongsi tentang jalan cerita filem ini dan apa yang cuba disampaikan. Filem ini mengisahkan Adam seorang jejaka berasal dari kampung yang telah membuat perubahan fizikal untuk menjadi seorang wanita. Setelah berjaya, dia telah bertukar nama kepada Amy. Apa yang saya perhatikan dalam filem ini, hanya watak Amy saja yang ditunjukkan tanpa menghidupkan sebabak pun watak Adam. Nama Adam itu hanya disebut-sebut.

Hasil suntingan dalam filem ini juga masih banyak perlu diperbetulkan kerana potongan dari babak ke babak kelihatan terlompat-lompat, yang menyebabkan penonton pening. Mungkin mereka mahukan kelainan dengan melakukan cara itu, namun gagal untuk menjadikan ia tampak unik dan menarik. Sebagai contoh, terdapat babak memandikan jenazah si mati, iaitu Adam. Apa yang diperhatikan, terlalu banyak “slow motion” untuk babak ini. Saya faham bahawa mereka mahu menunjukkan dengan lebih “detail” dalam pengurusan jenazah, tetapi bukan ini sahaja yang penonton mahu lihat. Terlalu lambat perjalanannya dan membuat penonton mudah bosan. Cukuplah sekadar beberapa babak, tidak perlu terlalu fokus disitu. Dalam-dalam menunjukkan babak pengurusan jenazah, terus potong pada babak Amy yang melakukan aktiviti kurang sihatnya semasa hidup. Jadi disini, bermulalah peralihan dua babak ini dari 1 masa ke 1 masa. Inilah yang membuat penonton mudah bosan.

Dalam babak Amy pula, terlalu banyak adegan-adegan kurang senonoh ditunjukkan. Seolah-olah, dalam dunia pondan ini, hanya semata-mata kerana seks sahaja. Kajian tentang kehidupan seorang pondan ini perlu dikaji sedalam-dalamnya dahulu bagi menghasilkan 1 karya yang baik. Dialog yang digunakan dalam filem ini kurang digunakan dan terlalu banyak “backround” muzik. Kalau muzik berlainan, tidak apalah juga. Asyik-asyik muzik yang sama. Bosan.

Bagi menampakkan Amy ini begitu jauh terpesong, babak Amy melakukan maksiat, mengambil dadah, berkahwin dengan cara kristian, dan sebagainya ditunjukkan. Kesemua babak disini, langsung tidak jelas dan lemah garapannya. Contohnya babak Amy berkahwin di London dengan seorang jejaka mat saleh. Pertama sekali, ini menimbulkan persoalan kepada penonton dari mana datangnya si mat saleh ini? Tiba-tiba muncul dan langsung tidak dijelaskan dengan lebih lanjut dari mana Amy boleh berkenalan dengan jejaka mat saleh ini sehingga boleh berkahwin. Di London pulak tu. Babak ini terus mati disitu.

Terdapat lagi babak Amy yang meniduri seorang komposer yang dipercayai membuat lagu untuk Amy memandangkan dalam filem ini, Amy seorang penyanyi yang terkenal. Disini juga kurang jelas ditonjolkan bahawa Amy ini seorang artis yang terkenal. Langsung tidak menampakkan cirri-ciri seorang penyanyi. Tidak ada babak walau sesaat pun, si Amy ini menyanyi, malah “backround” musik saja yang lebih. Yang terlalu sibuk ditonjolkan hanya seks, berfoya-foya dan pengurusan jenazah.

Dalam babak pengurusan jenazah, masih banyak lagi kelemahan. Watak Aaron Aziz sebagai ustaz gagal menguatkan filem ini. Aaron memang seorang pelakon yang baik, namun teknik pengarahan yang lemah dalam filem ini, gagal menampakkan kehebatan Aaron. Babak ini yang dikatakan menginsafkan tidak sampai kepada penonton, malah telemovie lakonan Allayarham M. Rajoli iaitu, “Tanah Kubur” dan “Liang Lahad”, karya Rashid Sibir, jauh lebih menginsafkan, serta penyampaiannya jelas. Apa yang saya cuba sampaikan disini, kajian dalam membuat sesuatu babak itu, perlu dilakukan dengan sebaik mungkin. Ini kerana, mesej dalam sesebuah cerita itu akan sampai ke sanubari penonton dengan olahan skrip yang baik, jalan cerita yang jelas, dan jangan terlalu fokus pada babak tertentu sehingga membuat penonton lemas apabila melihatnya.

Jadi apa yang boleh saya simpulkan disini, Dr Rozmey selaku penerbit filem 2 ALAM ini, perlu sedar bahawa terdapat banyak kelemahan dalam filemnya. Walaupun hanya penerbit, namun dia sendiri memainkan peranan yang penting dalam memastikan 2 ALAM ini merupakan karya yang bermutu. Tetapi, apa yang dilihat, terlalu fokus pada promosi filem ini sehingga membuatkan para pengkritik filem, media-media, serta orang ramai, naik meluat. Disangkakan perasaan meluat ini boleh hilang setelah menonton 2 ALAM, namun sebaliknya pula yang berlaku. Promosi sana sini, bermacam-macam slogan yang keluar, sehinggakan RM40 juta pecah panggung menjadi sasaran Dr Rozmey. Ironinya, hanya dia saja yang kecoh, tetapi pengarah filem iaitu Zarith Lokman dan Hairie Othman, senyap saja.

Diharap agar selepas ini, sekiranya Dr Rozmey mahu menerbitkan filem lagi, cubalah belajar dari kekurangan dalam filem 2 ALAM ini dan tolong buat kaji selidik dahulu. Idea cerita sudah bagus, namun pengolahan terlalu lemah, tidak segah promosi yang berbulan-bulan lamanya dilakukan. Sebagai orang melayu, saya tidak teragak-agak untuk menyokong sesama sendiri, tapi harus terima kritikan dari orang ramai yang menonton. Kritikan menjadikan kita lebih baik, dan jangan terlalu bongkak dengan kejayaan yang dikecapi. Terima kelemahan dan ubahkannya. InsyaAllah orang tidak akan menyampah. Semoga Berjaya Dr Rozmey!! J