Salam semua. Setelah sekian lama menyepikan diri dari menulis dalam blog ni, hari ni terdetik untuk membuat post berkenaan dengan filem 2 ALAM yang mana sebelum ini kecoh 1 Malaysia dengan laungan RM40 juta pecah panggung. RM40 juta bukan satu nilai yang kecil dan bagi saya terlalu tinggi sasaran itu, apatah lagi ianya cuma ditayangkan di Malaysia dan Brunei. Mustahil! Tak salah untuk berfikiran positif sebegitu, tapi kata orang, biar bertempat atau “agak-agak la kan”.
Baiklah, pertama sekali saya mahu berkongsi tentang jalan cerita filem ini dan apa yang cuba disampaikan. Filem ini mengisahkan Adam seorang jejaka berasal dari kampung yang telah membuat perubahan fizikal untuk menjadi seorang wanita. Setelah berjaya, dia telah bertukar nama kepada Amy. Apa yang saya perhatikan dalam filem ini, hanya watak Amy saja yang ditunjukkan tanpa menghidupkan sebabak pun watak Adam. Nama Adam itu hanya disebut-sebut.
Hasil suntingan dalam filem ini juga masih banyak perlu diperbetulkan kerana potongan dari babak ke babak kelihatan terlompat-lompat, yang menyebabkan penonton pening. Mungkin mereka mahukan kelainan dengan melakukan cara itu, namun gagal untuk menjadikan ia tampak unik dan menarik. Sebagai contoh, terdapat babak memandikan jenazah si mati, iaitu Adam. Apa yang diperhatikan, terlalu banyak “slow motion” untuk babak ini. Saya faham bahawa mereka mahu menunjukkan dengan lebih “detail” dalam pengurusan jenazah, tetapi bukan ini sahaja yang penonton mahu lihat. Terlalu lambat perjalanannya dan membuat penonton mudah bosan. Cukuplah sekadar beberapa babak, tidak perlu terlalu fokus disitu. Dalam-dalam menunjukkan babak pengurusan jenazah, terus potong pada babak Amy yang melakukan aktiviti kurang sihatnya semasa hidup. Jadi disini, bermulalah peralihan dua babak ini dari 1 masa ke 1 masa. Inilah yang membuat penonton mudah bosan.
Dalam babak Amy pula, terlalu banyak adegan-adegan kurang senonoh ditunjukkan. Seolah-olah, dalam dunia pondan ini, hanya semata-mata kerana seks sahaja. Kajian tentang kehidupan seorang pondan ini perlu dikaji sedalam-dalamnya dahulu bagi menghasilkan 1 karya yang baik. Dialog yang digunakan dalam filem ini kurang digunakan dan terlalu banyak “backround” muzik. Kalau muzik berlainan, tidak apalah juga. Asyik-asyik muzik yang sama. Bosan.
Bagi menampakkan Amy ini begitu jauh terpesong, babak Amy melakukan maksiat, mengambil dadah, berkahwin dengan cara kristian, dan sebagainya ditunjukkan. Kesemua babak disini, langsung tidak jelas dan lemah garapannya. Contohnya babak Amy berkahwin di London dengan seorang jejaka mat saleh. Pertama sekali, ini menimbulkan persoalan kepada penonton dari mana datangnya si mat saleh ini? Tiba-tiba muncul dan langsung tidak dijelaskan dengan lebih lanjut dari mana Amy boleh berkenalan dengan jejaka mat saleh ini sehingga boleh berkahwin. Di London pulak tu. Babak ini terus mati disitu.
Terdapat lagi babak Amy yang meniduri seorang komposer yang dipercayai membuat lagu untuk Amy memandangkan dalam filem ini, Amy seorang penyanyi yang terkenal. Disini juga kurang jelas ditonjolkan bahawa Amy ini seorang artis yang terkenal. Langsung tidak menampakkan cirri-ciri seorang penyanyi. Tidak ada babak walau sesaat pun, si Amy ini menyanyi, malah “backround” musik saja yang lebih. Yang terlalu sibuk ditonjolkan hanya seks, berfoya-foya dan pengurusan jenazah.
Dalam babak pengurusan jenazah, masih banyak lagi kelemahan. Watak Aaron Aziz sebagai ustaz gagal menguatkan filem ini. Aaron memang seorang pelakon yang baik, namun teknik pengarahan yang lemah dalam filem ini, gagal menampakkan kehebatan Aaron. Babak ini yang dikatakan menginsafkan tidak sampai kepada penonton, malah telemovie lakonan Allayarham M. Rajoli iaitu, “Tanah Kubur” dan “Liang Lahad”, karya Rashid Sibir, jauh lebih menginsafkan, serta penyampaiannya jelas. Apa yang saya cuba sampaikan disini, kajian dalam membuat sesuatu babak itu, perlu dilakukan dengan sebaik mungkin. Ini kerana, mesej dalam sesebuah cerita itu akan sampai ke sanubari penonton dengan olahan skrip yang baik, jalan cerita yang jelas, dan jangan terlalu fokus pada babak tertentu sehingga membuat penonton lemas apabila melihatnya.
Jadi apa yang boleh saya simpulkan disini, Dr Rozmey selaku penerbit filem 2 ALAM ini, perlu sedar bahawa terdapat banyak kelemahan dalam filemnya. Walaupun hanya penerbit, namun dia sendiri memainkan peranan yang penting dalam memastikan 2 ALAM ini merupakan karya yang bermutu. Tetapi, apa yang dilihat, terlalu fokus pada promosi filem ini sehingga membuatkan para pengkritik filem, media-media, serta orang ramai, naik meluat. Disangkakan perasaan meluat ini boleh hilang setelah menonton 2 ALAM, namun sebaliknya pula yang berlaku. Promosi sana sini, bermacam-macam slogan yang keluar, sehinggakan RM40 juta pecah panggung menjadi sasaran Dr Rozmey. Ironinya, hanya dia saja yang kecoh, tetapi pengarah filem iaitu Zarith Lokman dan Hairie Othman, senyap saja.
Diharap agar selepas ini, sekiranya Dr Rozmey mahu menerbitkan filem lagi, cubalah belajar dari kekurangan dalam filem 2 ALAM ini dan tolong buat kaji selidik dahulu. Idea cerita sudah bagus, namun pengolahan terlalu lemah, tidak segah promosi yang berbulan-bulan lamanya dilakukan. Sebagai orang melayu, saya tidak teragak-agak untuk menyokong sesama sendiri, tapi harus terima kritikan dari orang ramai yang menonton. Kritikan menjadikan kita lebih baik, dan jangan terlalu bongkak dengan kejayaan yang dikecapi. Terima kelemahan dan ubahkannya. InsyaAllah orang tidak akan menyampah. Semoga Berjaya Dr Rozmey!! J
setuju!
ReplyDelete