2011/09/03

SELAMAT TINGGAL PAPA~

Salam..

Tidak pernah aku sangka bahawa post aku kali ni merupakan satu penyampaian khabar sedih untuk dikongsi bersama.. Dikala orang lain gembira menyambut aidilfitri bersama keluarga, saudara mara & rakan-rakan, sebaliknya buat aku..

Walaupun selama ini raya yang aku sambut, kurang meriah jika dibandingkan dengan orang lain.. Sudah lama aku tak pulang ke kampung.. Sudah lama juga aku tidak beraya di rumah kawan-kawan.. Yang ada selama ini, Cuma beraya berempat bersama keluarga.. Hanya mengharapkan tetamu bertandang ke rumah untuk beraya.. Tapi aku tak merungut sebab dah biasa..

Cuma raya pada tahun ini memang terasa sangat sayu.. Ini kerana pada tanggal 29 Ogos 2011 aku kehilangan papa.. Iaitu pada hari terakhir di bulan ramadhan.. Yang mana keesokannya raya.. Aku buntu ketika itu kerana pada pagi sahur tu, papa sempat bersahur sama dengan kami.. ( mama & adik )

Arwah juga tak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik sebelum pemergiannya.. Masih jelas di ingatan bahawa menu terakhir arwah papa ialah roti dan juga telur mata.. Tu saja yang diminta.. Masa tu pun arwah tak cakap banyak.. Tu bukan sesuatu yang pelik sebab selama ni pun, arwah memang senyap ketika makan..

Selepas selesai bersahur, kami semua pun terus masuk dalam bilik untuk sambung berehat.. Arwah papa tidur di bilik tengah.. Seorang… Aku masih belum tidur sebab sibuk online.. Tak sampai pukul 7 pagi, aku terasa ngantuk dan tutup laptop.. Mama yang terlelap, tersedar dan minta aku tutupkan semua lampu-lampu.. Aku dan mama juga pada masa yang sama terdengar bunyi air melimpah kat tandas luar.. Aku sangkakan papa terlupa nak tutup paip.. Bila aku check, aku ternampak papa jatuh terlentang kat lantai tandas.. Aku panik dan cepat-cepat panggil mama dan adik untuk tolong..

Masa tu mama dan adik yang tolong angkatkan papa. Ketika itu mangkuk tandas dipenuhi dengan darah-darah beku.. Itu menunjukkan papa muntah darah.. Aku cepat-cepat keluar dari rumah untuk minta tolong dari jiran.. Mujurlah masa tu mereka semua belum balik kampung.. Jiran yang baik tu pun bantu kami dan tolong panggilkan ambulans.. Setengah jam kemudian, ambulans pun sampai.. Pembantu doktor dengan pantas masuk ke dalam rumah dan buat pemeriksaan terhadap papa.. Hasilnya, dia telah membuatkan kepastian bahawa papa sudah tidak bernyawa lagi.. Aku terasa sangat-sangat sedih sebab arwah pergi tanpa meninggalkan apa-apa pesan..

Namun Alhamdulillah kerana semuanya berjalan dengan lancar.. Sebelum zohor jenazah sudahpun dikebumikan.. Adik beradik arwah semua hadir.. Jiran-jiran dan kawan-kawan arwah juga datang membantu.. Disitulah saat terakhir aku melihat arwah.. Meninggalkan aku dan juga keluarga buat selama-lamanya..

Aku sebak kerana selama ini aku memang tak rapat dengan arwah papa.. Hanya bercakap ketika perlu je.. Namun pemergiannya, amatlah terasa.. Aku sayu apabila mengenangkan betapa arwah terseksa di saat-saat akhirnya sebelum meninggal.. Keadaan arwah yang masih berdarah di mulut dan juga hidung.. Mungkin itulah punca arwah sesak nafas.. Darah beku tersangkut dibahagian kerongkong dan juga hidung..

Dalam pada itu, aku juga kesal dengan pihak hospital yang selama ini tak memberikan rawatan yang sepatutnya.. Arwah papa meninggal, baru tahu penyakit sebenar berdasarkan simptom-simptom yang ada semasa meninggal.. Ia adalah kanser paru-paru.. Selama ini doktor gagal untuk mengesan penyakit arwah papa.. X-ray dah buat dan doktor hanya mendapati yang paru-paru arwah papa tak jelas kelihatan kerana diselaputi dengan kahak.. Tapi tak kata apa-apa penyakit kronik pun..

Tapi untuk menuding jari dan mencari salah mana-mana pihak, memang tidak adil.. Ini kerana kita hanyalah manusia.. Kita tak mampu untuk melawan takdir.. Allah S.W.T telah menentukan ajal seseorang.. Disaat kematian seseorang, tidak cepat atau lewat sedetik pun.. Jadi aku redha dengan pemergian arwah papa.. Aku sebagai anak, hanya mampu mendoakan kesejahteraan rohnya di alam sana.. Apa yang pasti, aku amat merinduinya.. Ya, walaupun selama ini aku dan arwah kurang bermesra, namun arwah tetap ayah aku..

Kesalnya rasa apabila arwah papa tidak sempat untuk merasa rendang, lodeh, lemang dan ketupat.. Tu sajalah yang arwah mengidam sangat beberapa hari sebelum nak raya.. Kesalnya aku kerana aku selama ini tak pernah mengucapkan kata-kata betapa aku sayangkan dia.. Ya Allah.. Sememangnya kali ini Kau telah memberi dugaan yang paling hebat buat aku..